07 August 2008

Lelaki dan perempuan boleh berkawan baik??

Boleh berkawan baik lelaki dan perempuan asalkan tahu batasannya. Kena ingat saidatina aisyah adalah seorang faqih yang selalu dijadikan tempat rujukan oleh para sahabat selepas kewafatan RasuluLLah.

Persepsi salah yang ditimbulkan adalah - kawan maksudnya bercouple, bercinta - sebenarnya tak semestinya begini. Ada orang berkawan dan bekerjasama di dalam satu organisasi, contoh di dalam satu jemaah. Perlunya kerjasama antara lelaki dan perempuan untuk melengkapkan kesatuan dan gerak kerja yang mantap.

Jika semuanya tidak boleh - yang menjadi guru wanita itu bagaimana? Yang lelaki hanya bergurukan orang lelaki? Dalam sirah yang dilihat, muhaddithin dan fuqaha' pun ada terdiri dari wanita.

Wanita Ansor dipuji oleh RasuluLLah kerana berani bertanya mengenai hal ehwal agama yang berkaitan dengan mereka.

Begitu juga dalam bidang muamalat dan sebagainya.

Saya pelik dengan kenyataan yang amat berat sehingga boleh jatuh hukum lelaki dan wanita tidak boleh berkawan. Dalam usaha tegur menegur dan nasihat menasihati antara sesama Islam adakah ditunjukkan bahawa hanya lelaki sahaja yang boleh menegur lelaki dan begitu juga wanita?

Ini amat bertentangan dengan ayat al Quran yang bererti : "Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, sebahagian mereka (adalah) menjadi penolong bagi sebahagian yang lain. Mereka menyuruh (mengerjakan) yang ma 'ruf, mencegah dari yang munkar." (At-Taubah: 71).

Tiada masalah untuk belajar di dalam kumpulan antara lelaki dan perempuan- tujuannya adalah baik, yang penting batasan dan keadaan (hendaklah jauh dari fitnah) jauhkan dari berbual perkara yang lagha (sia-sia). Bertepuk bertampar contohnya, atau ketawa terbahak-bahak - ini semua hanya menyebabkan hati mati dan mendatangkan fitnah.

Duduk juga tidak perlulah berdekatan - belajar di tempat yang dikhususkan seperti di dalam perpustakaan. Bercakap dalam keadaan yang perlu sahaja.

Seorang wanita tidak boleh bercakap dalam keadaan suara yang dilembutkan kepada lelaki yang halal dikahwini atau memujuk rayu. Suaranya hendaklah didatarkan.

Bergaul dalam keadaan tertentu.

Walau pun hukum asal pergaulan antara wanita dan lelaki ajnabi adalah ditegah, tetapi ia dibolehkan atas alasan darurat, hajah syar`iyyah, maslahat syar`iyyah atau kerana kebiasaan adat setempat yang syar`ie.

3.1.Boleh bergaul kerana darurat.
Boleh bergaul silang jantina ajnabi atas alasan darurat. Contohnya lelaki lari bersama perempuan ajnabiyah (bukan mahram) untuk mengelakkannya daripada diperkosa.

3.2.Boleh bergaul kerana hajah.

a) Boleh bergaul kerana urusan muamalat yang syar`ie seperti jual beli dan lainnya dengan syarat tidak berkhalwat.

b) Boleh bergaul kerana melaksanakan tugas kehakiman dan perbicaraan. Dalam Mazhab Hanafi wanita boleh jadi hakim dalam kes-kes bukan hudud, malah Mazhab al-Zahiri berpendapat boleh dalam semua kes. Tugas hakim memerlukan wanita bergaul dengan lelaki.

c) Boleh bergaul kerana wanita perlu mengemukakan kesaksian dalam perbicaraan. Wanita memang boleh jadi saksi. Firman Allah dalam surah al-Baqarah ayat 282:
فإن لم يكونا رجلين فرجل وامرأتان ممن ترضون من الشهداء
“jika keduanya (saksi) bukan dua lelaki maka ia hendaklah terdiri dari seorang lelaki dan dua orang perempuan dari kalangan saksi yang kamu reda”.

d) Boleh bergaul kerana wanita menjalankan tugas-tugas penguatkuasaan. Umar bin al-Khattab telah melantik al-Syifa’ sebagai pegawai penguat kuasa di majlis perbandaran.

e) Boleh bergaul untuk tujuan memberi khidmat kepada tetamu ajnabi jika suami turut hadir bersama. Bukhari meriwayatkan, apabila Abu Usaid berkahwin dia menjemput Rasulullah (s) dan sahabat. Tiada siapa yang menyedia dan menghidangkan makanan kecuali isterinya Ummu Usaid. Dia membasahkan tamar dan meletakkannya ke dalam bekas diperbuat dari batu. Kejadian itu berlaku waktu malam. Apabila Baginda selesai makan Ummu Usaid Mengesat tangan Baginda dan memberinya minum. Dia melayan Baginda dengan baik. Jelas hadis ini menunjukkan Ummu Usaid berada bersama suaminya memberi khidmat kepada Rasulullah (s) sebagai tetamu. Bagi saya, kedudukan Baginda sebagai Rasul perlu diambil kira.

f) Boleh bergaul kerana menghormati tetamu. Dalam Sahih Muslim dikesahkan tentang seseorang telah datang menemui Rasulullah (s). Baginda lantas bertanya para sahabat, siapa yang sanggup menerima lelaki tersebut sebagai tetamu. Seorang sahabat dari al-Ansar mengatakan “saya ya Rasulullah”. Setelah itu dia pun beredar balik ke rumah bertanyakan isterinya “kamu ada sesuatu ”. Yakni untuk dimakan. Jawab isterinya “tidak, kecuali untuk makanan anak-anak saya”. Jawab lelaki itu “lengah-lengahkan mereka dengan sesuatu, apabila tetamu kita datang padamkan lampu dan perlihatkan seolah-olah kita makan. Apabila dia mula makan kamu berdiri dan padamkanlah lampu”. Suami isteri tersebut duduk bersama tetamu mereka yang terus makan.. Apabila subuh, lelaki itu berjumpa Rasulullah (s), Baginda bersabda kepadanya “ Allah kagum terhadap apa yang kamu lakukan kepada tetamu kamu malam tadi”. Hadis ini menunjukkan isteri Ansari tersebut berada bersama suaminya melayan tetamu mereka makan.

g) Boleh bergaul dalam kenderaan awam kerana hajah/keperluan menggunakannya. Wanita dibenarkan keluar untuk menunaikan keperluan yang syar`ie seperti menziarahi keluarga, mendapat rawatan di hospital dan lainnya. Ini membuatkannya terpaksa menggunakan kenderaan awam. Mungkin berlaku pergaulan dalam kenderaan awam atau semasa menunggu untuk mendapat rawatan doktor atau semasa mengambil ubat di farmasi. Pergaulan wanita dan lelaki ajnabi dalam bentuk ini diharuskan atas dasar hajah dan keperluan syar`ie dan dengan syarat mematuhi hukum-hukum dan adab-adab Islam lain.

h) Boleh bergaul kerana tujuan berjihad fi sabilillah. Ini telah berlaku apabila sahabiyat turut serta dalam medan perang memberikan rawatan kepada mereka yang luka, menyediakan makanan dan menghantar pulang mereka yang syahid ke Madinah. Kegiatan ini menuntut wanita dan lelaki ajnabi bercampur , tetapi ia dibolehkan kerana menyempurnakan tuntutan syarak. Rabi`e Binti Mu`awiz berkata: “kami bersama Rasulullah (s) memberi minum dan merawat mereka yang luka dan menghantar pulang mereka yang terkorban ke Madinah”.

i) Boleh bergaul silang jantina ajnabi untuk tujuan mendapat nasihat, teguran dan bimbingan. (mendengar ceramah agama dalam konteks hari ini) Bukhari meriwayatkan daripada Ibnu Abbas: Pada (satu) hari raya Baginda keluar dan solat dua rakaat. Baginda tidak solat sebelum dan sesudahnya. Kemudian baginda menghala kepada kumpulan kaum wanita dan mengarahkan mereka supaya bersedekah. Mereka pun menyerahkan gelang dan rantai. Hadis ini jelas menunjukkan kaum wanita turut berada dalam majlis tersebut.

No comments: