10 September 2008

"Bunga yang kembang dan cantik itu jarang yang wangi... Begitulah orang
yang cantik jarang berbudi.."
Apabila si gadis dipuji dengan kata-kata, "Awak ni cantiklah", maka akan
menguntumlah sebutir senyuman dibibirnya dan berbungalah hatinya.
Tersipu-sipulah ia. Ah... siapa yang tidak seronok bila dikatakan cantik
dan lawa? Begitulah resam manusia, seronok bila dipuji kecewa bila
dikeji.
Tetapi lain halnya bagi si mukmin yang merasa dirinya miskin dengan
Tuhannya. Terasa kerdil tatkala berhadapan dengan pujian dan sanjungan
manusia.
Wanita yang cantik selalu ditimpa 'perasan' kerana sedar dirinya punya
kelebihan. Kata orang, wanita cantik banyak mahunya. Diri rasa bangga,
seisi dunia mahu digenggamnya. Kalau ia seorang gadis dirinya sanggup
menjadi tukaran dengan wang yang beribu. Ada pula yang rela menjadi
andartu.
Hidup
liar bak merpati, senang didekat dan ditangkap lari.
Jika ia seorang isteri yang sedar dan bangga dengan kecantikkannya maka
suamilah yang menjadi mangsa. Si suami selalu melutut dan kalah dengan
kehendak dan karenahnya. Lebih malang jika si suami pula suka akan
kecantikan isterinya. Ia menyayangi isteri atas dasar kecantikannya.
Jadilah
suami laksana lembu yang dicucuk hidungnya. Ke mana diarah di situlah
perginya, alangkah dayusnya dia. Si isteri yang cantik rupawan akan
merajuk dan meragam seandai kemahuannya tidak tercapai, mengugut,
merajuk hendak balik kampung atau minta cerai. Alangkah indahnya jika si
isteri tadi, kecantikannya digunakan untuk meniup semangat jihad ke
lubuk hati mujahidin.
Ketahuilah, keutamaan dan nilai diri seorang wanita sama ada cantik atau
tidak adalah pada akhlaknya. Kalau ia seorang isteri, ketaatannya pada
suami adalah akhlak yang indah.
Wanita yang cantik tetapi tidak berbudi pekerti tinggi, lebih-lebih lagi
isteri yang cantik yang derhaka pada suami adalah ibarat bunga raya.
Cantik
warnanya harumnya tiada. Sebaliknya wanita yang tidak cantik tetapi
berakhlak mulia, taat suaminya, sentiasa mencari keredhaanNya, ibarat
bunga cempaka. Tiada rupa tetapi harumnya memikat jiwa. Antara bunga
raya dan bunga cempaka pastilah cempaka diminati orang. Kasihan si bunga
raya, tidak dijual atau dipakai orang. Ibarat gadis murahan yang
mempertontonkan kecantikan. Konon nanti ada yang berkenan tetapi tidak
sedar d iri jadi mainan.
Wanita yang tidak cantik pula jika tidak berakhlak akan meyakitkan hati
dan mata. Ibarat bunga yang tidak cantik tidak pula harum dan wangi.
Maka tiadalah apa-apa tarikan dan keindahan padanya. Usah bangga dan
usah pula risau akan paras rupa untuk merebut kasih sayang manusia.
Tetapi marilah berlumba-lumba untuk menjadi wanita yang bertaqwa dan
berakhlak mulia.
Nescaya disayangi Allah serta makhluk-makhlukNya.
Seharusnya diri yang dikurniakan Allah dengan nikmat kecantikan sentiasa
resah jiwanya. Bukan kerana takut luput kurniaan itu dari dirinya.
Bukan jua
kerana ada yang iri hati dan mahu menganiayai atau menandingi
kejelitaannya.
Resah adalah kerana menghitung-hitung pahala-pahala yang tinggal akibat
pujian dan sanjungan manusia yang bakal menjerumuskan dirinya ke jurang
neraka. Mengira-ngira bagaimana untuk meruntuhkan gunung mazmumah akibat
dari kecantikan diri yang dijulang bagaikan mahkota. Apa lagi jika
kecantikan itu hidangan setiap insan, cantik indah tetapi hina terdedah.
Menjadi mainan nafsu dan syaitan.
Bersyukur dengan segala nikmat Tuhan. Baik buruk, cantik hodoh itu
adalah pemberiNya. Yang berwajah cantik atau hodoh sama-sama perlukan
persediaan.
Akan tiba saatnya jua di mana yang berwajah cantik indah dikerumuni oleh
cacing dan ditimbusi tanah di liang lahad yang gelap lagi sunyi.
Tatkala itu
bersandinglah manusia dengan kematian. Apakah baru di kala itu mahu
diucapkan nikmat iman dan Islam itulah sebesar-besar pemberian Tuhan?
Baru
sanggup berjuang, berkorban apa saja demi mendapatkannya?
Sebelum segala-galanya terlewat sama-samalah kita daki anak-anak tangga
menuju ke puncak taubat. Asal manusia dari setitis mani yang hina.
Sehina
itulah pula diri wanita. Kenangilah nasib diri di hari penghisaban.
Segala
pinjaman Tuhan itu, untuk apa digunakan.
Lunakkan hati, tenangkan perasaan. Lihatlah ke seluruh penjuru alam. Di
mana saja mata menjurus di sana ada tanda keagungan Tuhan. Dongakkan
kepala ke langit biru, tundukkan wajah ke bumi yang hijau. Saksikanlah
kilauan mentari, percikan cahaya bulan dan bintang. Langit yang
dijadikanNya tidak bertiang, gunung-ganang tidak berpancang. Usah
terlena dibuai keindahan, sesungguhnya pada segalanya itu terkandung
pengajaran: "Dan apa sahaja nikmat yang ada padamu dari A llahlah
datangnya, dan bila kamu ditimpa kemudaratan maka hanya padaNyalah kamu
meminta pertolongan." An-Nahl:
53
Wallahu a'lam...
Semoga kita sentiasa dibimbingNya dalam bermujahadah menjadi yang
terbaik...

1 comment:

::muslihah zaki:: said...

assalamualaikum wbt hidayah...alhamdulillah banyak posting n tazkirah....ok semua tjuk2 ni...ermm..tp x sempat nk bc semua lg...insyaAllah ad mase nti akak bc...suke...:)