14 July 2008

Konsep & Falsafah Islam Hadhari
18 Juli, 2007
Konsep & Falsafah Islam Hadhari
Islam Hadhari bukanlah satu ajaran baru, ianya adalah ajaran Islam yang sebenar yang berpaksikan al-Quran dan as-Sunnah ( Islam Fundamental ). Hal ini bukanlah satu perkara yang baru kerana agama Islam adalah satu agama yang syumul; agama yang sesuai sepanjang zaman dan agama yang merentasi sempadan tempat dan waktu. Malah penggunaan istilah ‘Hadhari’ telahpun digunakan oleh ilmuan Islam sejak dari dulu lagi seperti Ibnu Khaldun dalam kitab agungnya ‘Al-Muqaddimah’ dan pemikir al-Jazair iaitu Malik Bennabi yang cenderung menggunakan istilah ‘hadhara’ yang dianggap hampir kepada maksud keseimbangan kemajuan antara aspek material dengan akhlak dan spiritual. ( Siri Monografi Islam Hadhari Terengganu Bistari , m/s 3 - Idris Jusoh )
Islam Hadhari adalah Islam yang syumul atau komprehensif dengan penekanan kepada pembangunan ekonomi dan tamadun menyeluruh - yang berupaya menjadi penggerak dan pendorong kepada peningkatan daya saing bangsa Melayu dan umat Islam amnya. Islam Hadhari akan menjadikan warisan dan tamadun Islam yang memperlihatkan kejayaan cemerlang umat Islam masa lampau sebagai pendorong kepada pembangunan dan kemajuan tamadun umat Islam masa kini dalam semua bidang kehidupan.
Lantaran itu Islam Hadhari telahpun dijadikan satu kerangka Dasar Nasional yang akan dijadikan sebagai asas di dalam perancangan pembangunan Malaysia sebagai sebuah negara Islam Maju menjelang Tahun 2020. Dalam erti kata lain, Wawasan 2020 yang telah dijadikan sebagai ‘mainstream’ negara selama ini haruslah berpaksikan kepada ruh Islami atau dalam istilah yang lebih progresifnya ialah Islam Hadhari . Inilah rahsia yang tersurat disebalik kesungguhan kepimpinan negara di bawah teraju YAB Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi memperkenalkan Islam Hadhari.KeatasMaksud Islam Hadhari
Apakah yang dimaksudkan dengan Islam Hadhari ? ‘Islam Hadhari’ adalah gabungan dari dua kalimah Bahasa Arab, iaitu : ‘Islam’ dan ‘Hadhari’ (sifat). Asal perkataan ‘Hadhari’ ialah ‘Hadharun’ - ‘Hadharatun’ (Hidup di Bandar) yang membawa maksud membangun, maju ataupun bertamadun - lawan kepada perkataan ‘badawah’ ( kepedalaman atau kemunduran). Bertolak daripada kata dasar tersebut maka perkataan ‘hadharah’ ataupun sifatnya ‘hadhari’ bolehlah ditakrifkan sebagai hasil tindakbalas antara manusia dengan alam dan kehidupan sekitarnya melalui usaha yang dilakukan oleh manusia sendiri bagi memperbaiki kedudukan kehidupannya di dunia secara fizikal dan spiritual mengikut keperluan dan peredaran semasa ( waqie).
Pengertian hadharah (hadharatun) itu semakin luas skopnya apabila komuniti manusia itu semakin jauh daripada corak hidup kepedalaman, serta apabila mereka mula terbabit dengan gaya hidup masyarakat maju yang progresif dari semasa ke semasa mengikut kesesuaian zaman dan tempat. Justeru, hadharah ataupun tamadun adalah hasil-hasil usaha yang dilakukan oleh manusia untuk mengeksploitasi unit-unit alam yang berada di sekitarnya. Tujuannya ialah untuk merealisasikan segala keperluan dalam masyarakat manusia serta menyebarluas faktor-faktor kebaikan dan kebahagiaan di kalangan manusia sejagat.Keatas10 Prinsip Utama Islam Hadhari
Bagi menjana pembangunan yang seimbang dan pengintegrasian antara kemajuan duniawi dan juga persiapan ukhrawi dalam Pembangunan Islam Hadhari di Malaysia, maka Y.A.B Perdana Menteri telah memberi penekanan kepada Kehidupan Berkualiti sebagai salah satu daripada 10 Prinsip Utama Islam Hadhari :1. Keimanan dan ketaqwaan kepada Ilahi.
2. Kerajaan adil dan beramanah.
3. Rakyat berjiwa merdeka.
4. Penguasaan ilmu pengetahuan.
5. Pembangunan ekonomi yang seimbang dan komprehensif.
6. Kehidupan berkualiti.
7. Pembelaan hak kumpulan minoriti dan wanita.
8. Keutuhan budaya dan moral.
9. Pemeliharaan dan pemuliharaan alam semula jadi.
10. Kekuatan Pertahanan dan Perpaduan.Penekanan ini telah dikupas sendiri oleh Y.A.B Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi di perhimpunan berkenaan dengan menjelaskan bahawa:
“Islam Hadhari memberi penekanan kepada pembangunan - pembangunan yang menjurus kepada pembinaan peradaban. Peradaban yang dicanai dengan pegangan Islam dan memberi fokus kepada usaha mempertingkatkan mutu kehidupan (Kehidupan Berkualiti). Mempertingkatkan mutu kehidupan melalui penguasaan ilmu, pembangunan insan, pembangunan kesihatan serta pembangunan fizikal. Mempertingkatkan mutu kehidupan dengan mengamalkan sistem ekonomi, sistem perdagangan dan sistem kewangan yang dinamik”
Untuk melaksanakan pembangunan bagi membina peradaban Islam di Malaysia, kita perlukan kepada sebuah kerajaan yang kukuh dan stabil sebagaimana yang diamanahkan oleh Allah kepada Kerajaan Barisan Nasional menerusi mandat rakyat di dalam Pilihanraya Umum ke-11 yang lalu. Bertepatan dengan firman Allah S.w.t :
Bermaksud: “Allah menjanjikan orang-orang yang beriman dan beramal soleh dari kalangan kamu (wahai umat Muhammad) bahawa Dia akan menjadikan mereka khalifah-khalifah yang memegang kuasa pemerintahan di bumi, sebagaimana Dia telah menjadikan orang-orang yang sebelum mereka, khalifah-khalifah yang berkuasa; dan Dia akan menguatkan dan mengembangkan agama mereka (agama Islam) yang telah diredhai-Nya untuk mereka; dan Dia juga akan menggantikan bagi mereka keamanan setelah mereka mengalami ketakutan (dari ancaman musuh)”.
( Surah an-Nur : Ayat 55 )
Pembangunan Islam Hadhari Satu Amanah Allah. Pendekatan Islam Hadhari yang dirancang oleh kerajaan dari sudut menjana Kehidupan Berkualiti seperti yang diutarakan oleh Y.A.B Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi merupakan salah satu usaha untuk menguatkan dan mengembangkan agama Islam. Ianya sebahagian daripada tugas khalifah seperti yang disebut oleh Allah dalam ayat di atas.
Di samping itu, Islam Hadhari akan memberi penekanan kepada pembangunan sepadu dan seimbang bagi melahirkan umat yang berilmu dan beriman, bertamadun tinggi, berakhlak mulia, jujur lagi amanah, serta bersedia menangani cabaran semasa dunia global.
Pendekatan Islam Hadhari Selaras Sunnah Rasul. Pendekatan Islam Hadhari yang dirancang oleh kerajaan seperti yang dinyatakan di atas, dari sudut menjana Kehidupan Berkualiti di kalangan rakyat adalah juga berasaskan kepada apa yang telah dilakukan oleh Rasululah S.a.w ketika membangunkan Kota Madinah, iaitu dengan membina Kehidupan Berkualiti dalam aspek memberi penekanan kepada usaha membasmi al-jahlu ( Kejahilan ), Membasmi al-fakru (Kefakiran/kemiskinan ) dan membasmi al-maradhu (penyakit).
Perancangan Kerajaan di dalam membangunkan Islam Hadhari di kalangan rakyat dalam segenap aspek yang dinyatakan di atas merupakan satu usaha amal soleh. Ini kerana usaha yang sedemikian termasuk dalam kategori meringan dan memudahkan kesulitan orang lain, yang mana Rasulullah S.a.w telah bersabda, bermaksud :
“Barang siapa meringankan sesama orang Islam dari kesulitan-kesulitan dunia, Allah akan meringankannya dari kesulitan-kesulitan hari Khiamat. Barang siapa memudahkan seseorang yang sedang mengalami kesulitan, Allah akan memudahkan urusannya, baik di dunia maupun di akhirat..”
( Hadith : Riwayat Muslim )
Bertepatan dengan hadith tersebut, dan dalam konteks memahami dan menghayatinya dari perspektif Islam Hadhari, maka Y.A.B Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi dalam ucapan dasarnya di Perhimpunan Agung UMNO pada 23 September 2004, juga menyarankan bahawa:
“Usaha yang konsisten hingga menghasilkan kejayaan yang berterusan perlu dirancang… Peningkatan kualiti (itqan) dalam semua urusan dan kegiatan kehidupan merangkumi bidang pendidikan, penguasaan sains dan teknologi serta aktiviti-aktiviti ekonomi, hendaklah dijadikan budaya. Ijtihad membina ummah dalam zaman moden ini perlu diberikan perhatian dan diberikan pengiktirafan.
Konsep Peradaban Islam dan Barat Modern
30-March-2007
Oleh: Prof. Dr. Osman Bakar Guru Besar Falsafah Sains Universitas Malaya
Setiap pandangan hidup meliputi tiga konsep utama, yaitu konsep alam, konsep manusia, dan konsep ilmu. Ada tiga masalah pokok yang perlu dijawab dengan memuaskan. Apakah hakikat alam? Siapakah manusia? Bagaimanakah manusia boleh mengetahui? Setiap masalah dan jawaban yang akan diberi kepadanya banyak menentukan atau mempengaruhi bentuk, corak, dan ciri-ciri ilmu sains yang hendak dimajukan oleh sesuatu masyarakat atau peradaban.
Bagi pandangan hidup yang bersifat dan bercorak keagamaan, ketiga konsep tersebut didasari oleh satu konsep lain yang lebih asasi dan fundamental sifatnya, yaitu konsep ketuhanan. Bagi pandangan hidup yang mengenyampingkan agama, tempat dan peranan konsep ketuhanan diambil alih oleh ideologi ciptaan manusia. Dari segi teori dan praktiknya, konsep ketuhanan banyak mempengaruhi konsep alam, konsep manusia dan konsep ilmu. Oleh karena konsep ketuhanan dalam Islam tidak sama dengan konsep ketuhanan dalam peradaban Barat, sebagai akibatnya, kedua peradaban tamadun juga berbeda dalam memahami konsep alam, konsep manusia dan konsep ilmu.
Konsep Barat Di Barat, sumber utama konsep ketuhanannya ialah agama Kristen. Tetapi teologi Kristian sudah banyak mengalami perubahan zaman karena hendak disesuaikan dengan perkembangan ilmu pengetahuan dan perkembangan zaman. Ini berbeda dengan teologi Islam yang boleh dikatakan tidak berubah-ubah. Konsep ketuhanan dalam Islam tidak banyak berubah karena ia didasarkan semata-mata kepada ajaran-ajaran al-Quran yang juga tidak berubah-ubah.
Ketika agama Kristen berpengaruh dalam peradaban Barat, konsep alam yang dominan dalam peradaban tersebut telah dirumuskan daripada ajaran-ajaran pokok dalam agama itu. Demikian juga apa yang terjadi pada konsep manusia dan konsep ilmu. Apabila pengaruh agama Kristen di Eropa terus menerus merosot sejak abad ketujuh belas masehi, maka konsep alamnya, konsep manusianya, dan konsep ilmunya juga kehilangan pengaruh.
Perspektif-perspektif tradisional Kristen telah dikritik hebat oleh pelbagai aliran pemikiran sekular moden, termasuklah humanisme, rasionalisme, deisme, evolusionisme dan empirisisme. Dengan konsep ketuhanan menurut perspektif Kristen menjadi tertolak dan terpinggir, para ilmuwan Barat terpaksa memikirkan perumusan baru konsep tiga serangkai yang telah kita perkatakan tadi. Perumusan ini diperlukan bagi tujuan membina teras pengajian sains modern. Proses perumusan teras pengajian sains modern tidak pernah berakhir. Sains modern kini sudah berusia sekitar 400 tahun. Usaha mencari dasar dan pijakan bagi pengajian sains ini tidak pernah terhenti di sepanjang waktu tersebut. Walaupun sains modern telah berkembang dengan pesatnya, namun dasar dan pijakannya masih dicari-cari hingga sekarang. Barat modern masih belum bertemu dengan prinisip ilmu yang boleh diangkat menjadi dasar dan teras yang bersifat lebih menyeluruh dan lebih kekal. Yang setara dengan prinsip kesatuan ilmu dalam Islam tidak terdapat dalam peradaban Barat modern. Para ilmuwan Barat sedang mencoba untuk menonjolkan teori evolusi sebagai dasar dan teras pengajian sains. Tetapi nasib teori ini masih belum terjamin. Walau pun teori ini sudah berusia lebih 100 tahun dan kelihatan kedudukannya semakin kukuh, namun dalam konteks sejarah kelangsungan ide yang besar-besar, teori evolusi masih lagi dianggap baru dan bersifat sementara.
Konsep Islam Dalam konteks peradaban Islam pula, kita dapati bahwa bukan saja konsep ketuhanannya yang tidak mengalami perubahan besar tetapi juga tiga konsep lainnya. Konsep kemajuan dan pembangunan dalam Islam telah didasarkan pada tempat konsep pokok ini. Meskipun pada dasarnya keempat-empat konsep ini tidak berubah, tetapi teras pengajian sains Islam yang terbentuk daripada unsur-unsur yang terkandung di dalam empat konsep ini telah berjaya mencetuskan kemajuan sains dan teknologi yang terdepan di dunia selama lebih kurang lapan abad, yaitu dari abad ke-9 Masehi hingga ke abad enam belas Masehi. Kemerosotan umat Islam pada abad-abad berikutnya bukan berpuncak daripada konsep ketuhanan dan konsep tiga konsep lain yang tidak diizinkan berubah itu. Puncak utamanya ialah apabila empat konsep ini tidak lagi ditanggapi dan dipahami dengan betul dan sekomprehensif seperti di zaman keagungan ilmu-ilmu Islam.
Intisari konsep ketuhanan dalam Islam ialah prinsip tauhid yang merujuk kepada keesaan Allah dari segi dzat-Nya, sifat-Nya dan perbuatan-Nya. Ini menjadikan ilmu tauhid, yakni ilmu keesaan Tuhan, sebagai ilmu tertinggi dan terpenting di kalangan semua jenis dan cabang ilmu. Bukan itu saja, ilmu tauhid menjadi teras ilmu, juga, sebagai dasar dan sumber segala ilmu yang lain. la merupakan ujung pangkal segala ilmu, titik tolak segala ilmu dan tujuan akhir segala ilmu.
Di sini boleh dijelaskan sebagai contoh bagaimana ilmu sains berakar pada ilmu tauhid, khususnya ilmu keesaan perbuatan Allah. Ilmu sains berminat untuk mengkaji kosmos dan bagian-bagiannya. Tetapi ilmu tauhid seperti yang diwahyukan di dalam al-Quran sudah menyediakan kerangka spiritual dan metafisik bagi pengajian alam semesta oleh karena ilmu keesaan perbuatan Allah menunjukkan dengan jelas kepada kita hubungan antara Tuhan dan alam serta skop atau ruang lingkup perbuatan dan peranan Allah dalam alam semesta. Ini bermakna bahwa dalam Islam ilmu kosmologi (pengajian alam semesta) berakar dari ilmu tauhid.(CMM)

No comments: