Sebuah rumahtangga yang bahagia adalah yang terbina di atas dasar mawaddah/kasih dan rahmah/sayang di antara pasangan lelaki dan wanita. Perasaan mawaddah terjalin pada usia remaja, manakala perasaan rahmah mula berputik apabila usia hubungan semakin meningkat. Untuk mentafsirkan kalimah cinta adalah suatu pekerjaan yang sukar dan adalah suatu fitrah yang dianugerahkan oleh Allah kepada kita. Bertentangan sekali dengan suara-suara yang berani mengatakan bahawa cinta antara lelaki dan wanita adalah satu dosa dan boleh menjejaskan hubungan antara hamba dan Khaliq.
Sabda Nabi s.a.w apabila mengenangkan isteri-isteri baginda: " Ya Allah, inilah bahagianku daripada apa yang aku miliki, maka janganlah Engkau memurkaiku terhadap apa yang Engkau miliki dan tidak aku miliki... " ( Hadis Riwayat Imam-imam sunan )
Nabi s.a.w. sebagai seorang manusia biasa, tidak dapat mengawal perasaan cintanya yang lebih terhadap isteri baginda Aishah r.a. daripada isteri-isteri baginda yang lain. Maksud daripada hadis tersebut ialah, seseorang manusia tidak memiliki hatinya (tidak mampu mengawal perasaan hatinya) daripada perasaan marah, gembira, rindu, sedih dan cinta. Semuanya berlaku dengan kehendak Allah s.w.t.
Islam adalah kalimah Allah yang terakhir, penutup kepada segala risalah, dilengkapi dengan syariat yang umum, abadi, sesuai untuk semua rantau, semua zaman dan semua manusia. Islam dilengkapi dengan dua asas utama iaitu al-Quran dan as-Sunnah serta usul-usul yang terbina di atas dasar keduanya. Berbeza sekali dengan agama lain yang mengecualikan agama dalam kehidupan seharian.
Allah s.w.t. telah berfirman yang bermaksud: " Dan di antara tanda-tanda kekuasaanNya ialah Dia menciptakan untukmu isteri-isteri dari jenismu sendiri, supaya kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya, dan dijadikanNya di antaramu rasa kasih dan sayang. " ( Ar-Ruum 21 )
Islam memberkati setiap hubungan percintaan di antara lelaki dan wanita selagi mana ianya berpandukan hukum syara' dan tidak melampaui hadnya, serta cita-cita mereka adalah untuk membina rumahtangga dan bukan di atas dasar sekadar untuk bersuka-suka. Wajib bagi setiap pasangan yang bercinta agar menyatukan antara cinta dan Akhlak kerana cinta adalah naluri kecenderungan antara dua jantina yang berbeza manakala akhlak pula adalah sebagai benteng yang menghalang dari berlakunya perkara yang melampaui batas.
Islam meletakkan akhlak dan batasan tertentu kepada naluri semulajadi adalah sebagai penghargaan kepada sifat makhluk manusia. Dan disinilah tersembunyinya rahsia mengapa manhaj Islam tersendiri dari lain-lain manhaj ciptaan manusia. Antara garispandu yang wajib kita taati di dalam hubungan percintaan antara lelaki dan perempuan ialah penjagaan batas-batas aurat. Difahami bahawa aurat seorang lelaki adalah di antara pusat dan dua lulut manakala aurat perempuan pula adalah seluruh tubuh melainkan muka dan tapak tangan. Sabda Nabi s.a.w.: " Seorang lelaki tidak boleh melihat aurat lelaki lain, dan begitu juga perempuan tidak boleh melihat aurat perempuan lain. " ( Hadis Riwayat Imam Muslim, Abu Daud & Tarmizi ) Sabda Nabi s.a.w. lagi: " Sesungguhnya wanita itu adalah aurat. "
Disyariatkan pengharaman memandang anggota-anggota aurat di dalam Islam adalah sebagai langkah untuk memelihara manusia daripada perkara yang menggerakkan naluri dan mengobarkan keinginan hawa nafsu mereka. Firman Allah s.w.t.: " Dan katakanlah kepada para mukmin; jatuhkanlah pandangan kamu (dari memandang perkara yang tidak halal dipandang). Dan katakanlah kepada para mukminat; jatuhkanlah pandangan kamu." (An-Nur 30-31)
Pandangan adalah pembangkit atau penggerak nafsu syahwat, adalah jendela yang boleh dilalui oleh faktor keinginan dan minat. Allah s.w.t. telah menciptakan mata itu sebagai cermin bagi hati, maka apabila seseorang menutup pandangannya maka hati pun akan tertutup nafsunya.
Sabda Nabi s.a.w. : " Setiap kali seseorang muslim terpandang kecantikan seseorang perempuan lalu ia memalingkan pandangannya dari situ, maka Allah akan membaharukan untuknya satu ibadah yang kemanisannya terasa di dalam hatinya. " ( Hadis Riwayat Ahmad & Tabrani )
Sesungguhnya pertimbangan kejiwaan yang lengkap yang ditunjukkan oleh Islam berkaitan perintah menutup aurat dan naluri malu manusia, tiada bandingannya dengan mana-mana peradaban di dunia. Di dalam Islam ternyata tugas utama pakaian ialah sebagai memberi perlindungan kepada tubuh dan bukannya sebagai perhiasan semata-mata. Perlu ditekankan di sini bahawa pakaian berlengan pendek adalah haram dipakai bagi seorang wanita di hadapan lelaki ajnabi, begitu juga sebarang pakaian yang ketat atau nipis atau terlalu lembut sehingga boleh menampakkan sebahagian susuk tubuh. Allah s.w.t. berfirman yang bermaksud: " Hendaklah mereka (perempuan-perempuan) itu melabuhkan tudung mereka sampai ke dada. " ( An-Nur 31 )
Islam melarang percampuran bebas antara lelaki dan wanita sebagai langkah awal untuk mengelakkan dari godaan dan hasutan hawa nafsu. Pada hakikatnya, percampuran bebas inilah yang mengheret masyarakat ke dalam ‘revolusi sosial’ pada masa kini. Nabi s.a.w. bersabda yang maksudnya kira-kira: " Apabila seseorang lelaki itu bersendirian dengan seorang wanita (yang bukan muhrimnya) maka syaitan adalah yang ketiga di antara mereka" ( Hadis Riwayat Tirmizi )
Lagi sabda Nabi s.a.w. : " Sekiranya seseorang bersesak dengan babi, berlumuran dengan lumpur atau tanah kotor, maka ianya adalah lebih baik dari bergesel bahu dengan seorang perempuan yang tidak halal baginya. " ( Petikan dari Hadis Riwayat Tabrani ) Begitulah ketegasan Nabi s.a.w. di dalam melarang umatnya bergaul bebas di antara lelaki dan perempuan. Larangan bergaul bebas; yang melibatkan pergaulan sesama bukan muhrim, tanpa sebarang tujuan yang munasabah ini adalah meliputi sama ada di khalayak ramai ataupun bersendirian.
Kesimpulan :
1. Cinta adalah sebuah perasaan yang wujud pada setiap manusia dan ianya adalah fitrah hidup dan tidak dapat dielakkan.
2. Menjadi kewajipan kepada setiap pasangan percintaan antara seorang lelaki dan wanita agar menghiasi cinta mereka dengan akhlak-akhlak yang telah digarispandukan oleh Islam.
3. Cinta semata-mata tanpa akhlak akan membawa kepada kerosakan pada diri pasangan.
4. Haram setiap percintaan yang dibina di atas dasar sekadar suka-suka, bahkan perlulah diletakkan perkahwinan sebagai tujuan utamanya.
5. Sesungguhnya cinta itu bukanlah sesuatu yang keji, bahkan ianya adalah suatu ikatan yang suci yang mana boleh mengukuhkan ikatan di antara pasangan apabila mereka berkahwin. " Ya Tuhan kami, anugerahkanlah kepada kami, isteri-isteri kami, dan keturunan kami sebagai penyenang hati (kami), dan jadikanlah kami imam (ikutan) bagi orang-orang yang bertaqwa . " ( Al-Furqaan )
07 August 2008
Cinta Antara Lelaki dan Perempuan
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
1 comment:
boleh x saya tanya sikit?
Sebenarnya ... saya ni memang sedia tahu, bercouple itu tidk dibenarkan dalam Islam, saya pun sering tegur orang dengan baiknya tentang hal ini.
Tapi, mmg terlintas dlm fikiran saya ... adakah berdosa utk menyukai seseorang pada alam remaja ini??
Bukan sahaja itu, tetapi saya,contohnya, walau bagaimana pun saya menyukai sesorang itu, saya tak pernah sms, meminta no. menelefon atau bergaul bebas dgn org yg disukai itu. Bercakap pun apabila perlu.
Tapi saya dengar benda ini tidak dibenarkan, malah haram, dan dianggap zina hati. Saya dalam dilema, kerana sy tak pernah berfikir utk bercouple, tp ini pulak katakan kita tidak boleh menyukai sesorang sahaja.
Satu lagi sy ingin tanya, apakah maksud ayat ini drp post ini??
"Haram setiap percintaan yang dibina di atas dasar sekadar suka-suka, bahkan perlulah diletakkan perkahwinan sebagai tujuan utamanya."
Post a Comment