10 September 2008

"Bunga yang kembang dan cantik itu jarang yang wangi... Begitulah orang
yang cantik jarang berbudi.."
Apabila si gadis dipuji dengan kata-kata, "Awak ni cantiklah", maka akan
menguntumlah sebutir senyuman dibibirnya dan berbungalah hatinya.
Tersipu-sipulah ia. Ah... siapa yang tidak seronok bila dikatakan cantik
dan lawa? Begitulah resam manusia, seronok bila dipuji kecewa bila
dikeji.
Tetapi lain halnya bagi si mukmin yang merasa dirinya miskin dengan
Tuhannya. Terasa kerdil tatkala berhadapan dengan pujian dan sanjungan
manusia.
Wanita yang cantik selalu ditimpa 'perasan' kerana sedar dirinya punya
kelebihan. Kata orang, wanita cantik banyak mahunya. Diri rasa bangga,
seisi dunia mahu digenggamnya. Kalau ia seorang gadis dirinya sanggup
menjadi tukaran dengan wang yang beribu. Ada pula yang rela menjadi
andartu.
Hidup
liar bak merpati, senang didekat dan ditangkap lari.
Jika ia seorang isteri yang sedar dan bangga dengan kecantikkannya maka
suamilah yang menjadi mangsa. Si suami selalu melutut dan kalah dengan
kehendak dan karenahnya. Lebih malang jika si suami pula suka akan
kecantikan isterinya. Ia menyayangi isteri atas dasar kecantikannya.
Jadilah
suami laksana lembu yang dicucuk hidungnya. Ke mana diarah di situlah
perginya, alangkah dayusnya dia. Si isteri yang cantik rupawan akan
merajuk dan meragam seandai kemahuannya tidak tercapai, mengugut,
merajuk hendak balik kampung atau minta cerai. Alangkah indahnya jika si
isteri tadi, kecantikannya digunakan untuk meniup semangat jihad ke
lubuk hati mujahidin.
Ketahuilah, keutamaan dan nilai diri seorang wanita sama ada cantik atau
tidak adalah pada akhlaknya. Kalau ia seorang isteri, ketaatannya pada
suami adalah akhlak yang indah.
Wanita yang cantik tetapi tidak berbudi pekerti tinggi, lebih-lebih lagi
isteri yang cantik yang derhaka pada suami adalah ibarat bunga raya.
Cantik
warnanya harumnya tiada. Sebaliknya wanita yang tidak cantik tetapi
berakhlak mulia, taat suaminya, sentiasa mencari keredhaanNya, ibarat
bunga cempaka. Tiada rupa tetapi harumnya memikat jiwa. Antara bunga
raya dan bunga cempaka pastilah cempaka diminati orang. Kasihan si bunga
raya, tidak dijual atau dipakai orang. Ibarat gadis murahan yang
mempertontonkan kecantikan. Konon nanti ada yang berkenan tetapi tidak
sedar d iri jadi mainan.
Wanita yang tidak cantik pula jika tidak berakhlak akan meyakitkan hati
dan mata. Ibarat bunga yang tidak cantik tidak pula harum dan wangi.
Maka tiadalah apa-apa tarikan dan keindahan padanya. Usah bangga dan
usah pula risau akan paras rupa untuk merebut kasih sayang manusia.
Tetapi marilah berlumba-lumba untuk menjadi wanita yang bertaqwa dan
berakhlak mulia.
Nescaya disayangi Allah serta makhluk-makhlukNya.
Seharusnya diri yang dikurniakan Allah dengan nikmat kecantikan sentiasa
resah jiwanya. Bukan kerana takut luput kurniaan itu dari dirinya.
Bukan jua
kerana ada yang iri hati dan mahu menganiayai atau menandingi
kejelitaannya.
Resah adalah kerana menghitung-hitung pahala-pahala yang tinggal akibat
pujian dan sanjungan manusia yang bakal menjerumuskan dirinya ke jurang
neraka. Mengira-ngira bagaimana untuk meruntuhkan gunung mazmumah akibat
dari kecantikan diri yang dijulang bagaikan mahkota. Apa lagi jika
kecantikan itu hidangan setiap insan, cantik indah tetapi hina terdedah.
Menjadi mainan nafsu dan syaitan.
Bersyukur dengan segala nikmat Tuhan. Baik buruk, cantik hodoh itu
adalah pemberiNya. Yang berwajah cantik atau hodoh sama-sama perlukan
persediaan.
Akan tiba saatnya jua di mana yang berwajah cantik indah dikerumuni oleh
cacing dan ditimbusi tanah di liang lahad yang gelap lagi sunyi.
Tatkala itu
bersandinglah manusia dengan kematian. Apakah baru di kala itu mahu
diucapkan nikmat iman dan Islam itulah sebesar-besar pemberian Tuhan?
Baru
sanggup berjuang, berkorban apa saja demi mendapatkannya?
Sebelum segala-galanya terlewat sama-samalah kita daki anak-anak tangga
menuju ke puncak taubat. Asal manusia dari setitis mani yang hina.
Sehina
itulah pula diri wanita. Kenangilah nasib diri di hari penghisaban.
Segala
pinjaman Tuhan itu, untuk apa digunakan.
Lunakkan hati, tenangkan perasaan. Lihatlah ke seluruh penjuru alam. Di
mana saja mata menjurus di sana ada tanda keagungan Tuhan. Dongakkan
kepala ke langit biru, tundukkan wajah ke bumi yang hijau. Saksikanlah
kilauan mentari, percikan cahaya bulan dan bintang. Langit yang
dijadikanNya tidak bertiang, gunung-ganang tidak berpancang. Usah
terlena dibuai keindahan, sesungguhnya pada segalanya itu terkandung
pengajaran: "Dan apa sahaja nikmat yang ada padamu dari A llahlah
datangnya, dan bila kamu ditimpa kemudaratan maka hanya padaNyalah kamu
meminta pertolongan." An-Nahl:
53
Wallahu a'lam...
Semoga kita sentiasa dibimbingNya dalam bermujahadah menjadi yang
terbaik...
SAHABATKU…..
Ingatlah sahabat Bunga itu menguntum indah, Menyeri dan mekar memerah, Dipuji dengan berbagai-bagai madah, Esoknya bunga itu gugur ke tanah, Serpih demi serpih ia punah, Tanpa daun dan kelopaknya musnah.Sahabatku... Engkau bukan layu seperti bunga, Dan aku bukan kumbang yang akan mengambil madunya, Lambang bunga lambang sementara cuma, Tetapi perjuangan kita tiada penghujungnya, Daerah kita bukan daerah cinta, Bukan masanya untuk memujuk kasih asmara, Tiada senda gurau memanjang yang meleka, Kerana kita dalam memperjuangkan agama. Sahabatku.. Disini uda dan dara telah berkubur, Kita bina atasnya jihad yang subur. Ingatlah sahabatku.. Kerana dulu dan kini kita tetap seorang mujahid, Yang merindukan dan memburu syahid, Maaf kiranya Ingatlah sahabat... Bumi kita bumi yang payah, Penuh peluh, air mata dan mungkin darah, Bila kita jejak tapaknya perlu punyai wadah, Ikuti dibelakang ulama' supaya tak goyah, Bila dikatakan pada mu: Perjuangan itu amat susah, Kau katakanlah kembali: Aku mengharap hanya keredhaan dari Allah.; Sahabatku... Semalam telah layu sekuntum bunga, Telah gugur dari jambangannya, Tetapi itu bukan perjuangan kita, Bukanlah itu sebagai lambangnya, Mulut telah kaku untuk bertanya, Hati malu untuk memikirkannya, Tidak seperti dahulunya, Kita kuat berhujah dan bersuara. tuturku yang pahit. Senyumlah sahabat.. Senyumlah dan serilah wajah, Walau pudar dan hambar datang tak sudah, Belajarlah menjadi seorang mujahid dan mujahidah, Doaku agar kita berani seperti Hamzah, Malah punyai semangat seperti Sumaiyah. jadilah sahabat yang baik... Memang sudah menjadi fitrah semulajadi manusia ingin berkawan dan bersahabat. Sahabat sejati ialah yang sentiasa bantu membantu dalam mengerjakan kebaikan dan mencegah kemungkaran. Binalah nilai seorg sahabat yg baik....

07 August 2008

Cinta Antara Lelaki dan Perempuan

Sebuah rumahtangga yang bahagia adalah yang terbina di atas dasar mawaddah/kasih dan rahmah/sayang di antara pasangan lelaki dan wanita. Perasaan mawaddah terjalin pada usia remaja, manakala perasaan rahmah mula berputik apabila usia hubungan semakin meningkat. Untuk mentafsirkan kalimah cinta adalah suatu pekerjaan yang sukar dan adalah suatu fitrah yang dianugerahkan oleh Allah kepada kita. Bertentangan sekali dengan suara-suara yang berani mengatakan bahawa cinta antara lelaki dan wanita adalah satu dosa dan boleh menjejaskan hubungan antara hamba dan Khaliq.

Sabda Nabi s.a.w apabila mengenangkan isteri-isteri baginda: " Ya Allah, inilah bahagianku daripada apa yang aku miliki, maka janganlah Engkau memurkaiku terhadap apa yang Engkau miliki dan tidak aku miliki... " ( Hadis Riwayat Imam-imam sunan )

Nabi s.a.w. sebagai seorang manusia biasa, tidak dapat mengawal perasaan cintanya yang lebih terhadap isteri baginda Aishah r.a. daripada isteri-isteri baginda yang lain. Maksud daripada hadis tersebut ialah, seseorang manusia tidak memiliki hatinya (tidak mampu mengawal perasaan hatinya) daripada perasaan marah, gembira, rindu, sedih dan cinta. Semuanya berlaku dengan kehendak Allah s.w.t.

Islam adalah kalimah Allah yang terakhir, penutup kepada segala risalah, dilengkapi dengan syariat yang umum, abadi, sesuai untuk semua rantau, semua zaman dan semua manusia. Islam dilengkapi dengan dua asas utama iaitu al-Quran dan as-Sunnah serta usul-usul yang terbina di atas dasar keduanya. Berbeza sekali dengan agama lain yang mengecualikan agama dalam kehidupan seharian.

Allah s.w.t. telah berfirman yang bermaksud: " Dan di antara tanda-tanda kekuasaanNya ialah Dia menciptakan untukmu isteri-isteri dari jenismu sendiri, supaya kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya, dan dijadikanNya di antaramu rasa kasih dan sayang. " ( Ar-Ruum 21 )

Islam memberkati setiap hubungan percintaan di antara lelaki dan wanita selagi mana ianya berpandukan hukum syara' dan tidak melampaui hadnya, serta cita-cita mereka adalah untuk membina rumahtangga dan bukan di atas dasar sekadar untuk bersuka-suka. Wajib bagi setiap pasangan yang bercinta agar menyatukan antara cinta dan Akhlak kerana cinta adalah naluri kecenderungan antara dua jantina yang berbeza manakala akhlak pula adalah sebagai benteng yang menghalang dari berlakunya perkara yang melampaui batas.

Islam meletakkan akhlak dan batasan tertentu kepada naluri semulajadi adalah sebagai penghargaan kepada sifat makhluk manusia. Dan disinilah tersembunyinya rahsia mengapa manhaj Islam tersendiri dari lain-lain manhaj ciptaan manusia. Antara garispandu yang wajib kita taati di dalam hubungan percintaan antara lelaki dan perempuan ialah penjagaan batas-batas aurat. Difahami bahawa aurat seorang lelaki adalah di antara pusat dan dua lulut manakala aurat perempuan pula adalah seluruh tubuh melainkan muka dan tapak tangan. Sabda Nabi s.a.w.: " Seorang lelaki tidak boleh melihat aurat lelaki lain, dan begitu juga perempuan tidak boleh melihat aurat perempuan lain. " ( Hadis Riwayat Imam Muslim, Abu Daud & Tarmizi ) Sabda Nabi s.a.w. lagi: " Sesungguhnya wanita itu adalah aurat. "

Disyariatkan pengharaman memandang anggota-anggota aurat di dalam Islam adalah sebagai langkah untuk memelihara manusia daripada perkara yang menggerakkan naluri dan mengobarkan keinginan hawa nafsu mereka. Firman Allah s.w.t.: " Dan katakanlah kepada para mukmin; jatuhkanlah pandangan kamu (dari memandang perkara yang tidak halal dipandang). Dan katakanlah kepada para mukminat; jatuhkanlah pandangan kamu." (An-Nur 30-31)

Pandangan adalah pembangkit atau penggerak nafsu syahwat, adalah jendela yang boleh dilalui oleh faktor keinginan dan minat. Allah s.w.t. telah menciptakan mata itu sebagai cermin bagi hati, maka apabila seseorang menutup pandangannya maka hati pun akan tertutup nafsunya.

Sabda Nabi s.a.w. : " Setiap kali seseorang muslim terpandang kecantikan seseorang perempuan lalu ia memalingkan pandangannya dari situ, maka Allah akan membaharukan untuknya satu ibadah yang kemanisannya terasa di dalam hatinya. " ( Hadis Riwayat Ahmad & Tabrani )

Sesungguhnya pertimbangan kejiwaan yang lengkap yang ditunjukkan oleh Islam berkaitan perintah menutup aurat dan naluri malu manusia, tiada bandingannya dengan mana-mana peradaban di dunia. Di dalam Islam ternyata tugas utama pakaian ialah sebagai memberi perlindungan kepada tubuh dan bukannya sebagai perhiasan semata-mata. Perlu ditekankan di sini bahawa pakaian berlengan pendek adalah haram dipakai bagi seorang wanita di hadapan lelaki ajnabi, begitu juga sebarang pakaian yang ketat atau nipis atau terlalu lembut sehingga boleh menampakkan sebahagian susuk tubuh. Allah s.w.t. berfirman yang bermaksud: " Hendaklah mereka (perempuan-perempuan) itu melabuhkan tudung mereka sampai ke dada. " ( An-Nur 31 )

Islam melarang percampuran bebas antara lelaki dan wanita sebagai langkah awal untuk mengelakkan dari godaan dan hasutan hawa nafsu. Pada hakikatnya, percampuran bebas inilah yang mengheret masyarakat ke dalam ‘revolusi sosial’ pada masa kini. Nabi s.a.w. bersabda yang maksudnya kira-kira: " Apabila seseorang lelaki itu bersendirian dengan seorang wanita (yang bukan muhrimnya) maka syaitan adalah yang ketiga di antara mereka" ( Hadis Riwayat Tirmizi )

Lagi sabda Nabi s.a.w. : " Sekiranya seseorang bersesak dengan babi, berlumuran dengan lumpur atau tanah kotor, maka ianya adalah lebih baik dari bergesel bahu dengan seorang perempuan yang tidak halal baginya. " ( Petikan dari Hadis Riwayat Tabrani ) Begitulah ketegasan Nabi s.a.w. di dalam melarang umatnya bergaul bebas di antara lelaki dan perempuan. Larangan bergaul bebas; yang melibatkan pergaulan sesama bukan muhrim, tanpa sebarang tujuan yang munasabah ini adalah meliputi sama ada di khalayak ramai ataupun bersendirian.

Kesimpulan :
1. Cinta adalah sebuah perasaan yang wujud pada setiap manusia dan ianya adalah fitrah hidup dan tidak dapat dielakkan.
2. Menjadi kewajipan kepada setiap pasangan percintaan antara seorang lelaki dan wanita agar menghiasi cinta mereka dengan akhlak-akhlak yang telah digarispandukan oleh Islam.
3. Cinta semata-mata tanpa akhlak akan membawa kepada kerosakan pada diri pasangan.
4. Haram setiap percintaan yang dibina di atas dasar sekadar suka-suka, bahkan perlulah diletakkan perkahwinan sebagai tujuan utamanya.
5. Sesungguhnya cinta itu bukanlah sesuatu yang keji, bahkan ianya adalah suatu ikatan yang suci yang mana boleh mengukuhkan ikatan di antara pasangan apabila mereka berkahwin. " Ya Tuhan kami, anugerahkanlah kepada kami, isteri-isteri kami, dan keturunan kami sebagai penyenang hati (kami), dan jadikanlah kami imam (ikutan) bagi orang-orang yang bertaqwa . " ( Al-Furqaan )

Lelaki dan perempuan boleh berkawan baik??

Boleh berkawan baik lelaki dan perempuan asalkan tahu batasannya. Kena ingat saidatina aisyah adalah seorang faqih yang selalu dijadikan tempat rujukan oleh para sahabat selepas kewafatan RasuluLLah.

Persepsi salah yang ditimbulkan adalah - kawan maksudnya bercouple, bercinta - sebenarnya tak semestinya begini. Ada orang berkawan dan bekerjasama di dalam satu organisasi, contoh di dalam satu jemaah. Perlunya kerjasama antara lelaki dan perempuan untuk melengkapkan kesatuan dan gerak kerja yang mantap.

Jika semuanya tidak boleh - yang menjadi guru wanita itu bagaimana? Yang lelaki hanya bergurukan orang lelaki? Dalam sirah yang dilihat, muhaddithin dan fuqaha' pun ada terdiri dari wanita.

Wanita Ansor dipuji oleh RasuluLLah kerana berani bertanya mengenai hal ehwal agama yang berkaitan dengan mereka.

Begitu juga dalam bidang muamalat dan sebagainya.

Saya pelik dengan kenyataan yang amat berat sehingga boleh jatuh hukum lelaki dan wanita tidak boleh berkawan. Dalam usaha tegur menegur dan nasihat menasihati antara sesama Islam adakah ditunjukkan bahawa hanya lelaki sahaja yang boleh menegur lelaki dan begitu juga wanita?

Ini amat bertentangan dengan ayat al Quran yang bererti : "Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, sebahagian mereka (adalah) menjadi penolong bagi sebahagian yang lain. Mereka menyuruh (mengerjakan) yang ma 'ruf, mencegah dari yang munkar." (At-Taubah: 71).

Tiada masalah untuk belajar di dalam kumpulan antara lelaki dan perempuan- tujuannya adalah baik, yang penting batasan dan keadaan (hendaklah jauh dari fitnah) jauhkan dari berbual perkara yang lagha (sia-sia). Bertepuk bertampar contohnya, atau ketawa terbahak-bahak - ini semua hanya menyebabkan hati mati dan mendatangkan fitnah.

Duduk juga tidak perlulah berdekatan - belajar di tempat yang dikhususkan seperti di dalam perpustakaan. Bercakap dalam keadaan yang perlu sahaja.

Seorang wanita tidak boleh bercakap dalam keadaan suara yang dilembutkan kepada lelaki yang halal dikahwini atau memujuk rayu. Suaranya hendaklah didatarkan.

Bergaul dalam keadaan tertentu.

Walau pun hukum asal pergaulan antara wanita dan lelaki ajnabi adalah ditegah, tetapi ia dibolehkan atas alasan darurat, hajah syar`iyyah, maslahat syar`iyyah atau kerana kebiasaan adat setempat yang syar`ie.

3.1.Boleh bergaul kerana darurat.
Boleh bergaul silang jantina ajnabi atas alasan darurat. Contohnya lelaki lari bersama perempuan ajnabiyah (bukan mahram) untuk mengelakkannya daripada diperkosa.

3.2.Boleh bergaul kerana hajah.

a) Boleh bergaul kerana urusan muamalat yang syar`ie seperti jual beli dan lainnya dengan syarat tidak berkhalwat.

b) Boleh bergaul kerana melaksanakan tugas kehakiman dan perbicaraan. Dalam Mazhab Hanafi wanita boleh jadi hakim dalam kes-kes bukan hudud, malah Mazhab al-Zahiri berpendapat boleh dalam semua kes. Tugas hakim memerlukan wanita bergaul dengan lelaki.

c) Boleh bergaul kerana wanita perlu mengemukakan kesaksian dalam perbicaraan. Wanita memang boleh jadi saksi. Firman Allah dalam surah al-Baqarah ayat 282:
فإن لم يكونا رجلين فرجل وامرأتان ممن ترضون من الشهداء
“jika keduanya (saksi) bukan dua lelaki maka ia hendaklah terdiri dari seorang lelaki dan dua orang perempuan dari kalangan saksi yang kamu reda”.

d) Boleh bergaul kerana wanita menjalankan tugas-tugas penguatkuasaan. Umar bin al-Khattab telah melantik al-Syifa’ sebagai pegawai penguat kuasa di majlis perbandaran.

e) Boleh bergaul untuk tujuan memberi khidmat kepada tetamu ajnabi jika suami turut hadir bersama. Bukhari meriwayatkan, apabila Abu Usaid berkahwin dia menjemput Rasulullah (s) dan sahabat. Tiada siapa yang menyedia dan menghidangkan makanan kecuali isterinya Ummu Usaid. Dia membasahkan tamar dan meletakkannya ke dalam bekas diperbuat dari batu. Kejadian itu berlaku waktu malam. Apabila Baginda selesai makan Ummu Usaid Mengesat tangan Baginda dan memberinya minum. Dia melayan Baginda dengan baik. Jelas hadis ini menunjukkan Ummu Usaid berada bersama suaminya memberi khidmat kepada Rasulullah (s) sebagai tetamu. Bagi saya, kedudukan Baginda sebagai Rasul perlu diambil kira.

f) Boleh bergaul kerana menghormati tetamu. Dalam Sahih Muslim dikesahkan tentang seseorang telah datang menemui Rasulullah (s). Baginda lantas bertanya para sahabat, siapa yang sanggup menerima lelaki tersebut sebagai tetamu. Seorang sahabat dari al-Ansar mengatakan “saya ya Rasulullah”. Setelah itu dia pun beredar balik ke rumah bertanyakan isterinya “kamu ada sesuatu ”. Yakni untuk dimakan. Jawab isterinya “tidak, kecuali untuk makanan anak-anak saya”. Jawab lelaki itu “lengah-lengahkan mereka dengan sesuatu, apabila tetamu kita datang padamkan lampu dan perlihatkan seolah-olah kita makan. Apabila dia mula makan kamu berdiri dan padamkanlah lampu”. Suami isteri tersebut duduk bersama tetamu mereka yang terus makan.. Apabila subuh, lelaki itu berjumpa Rasulullah (s), Baginda bersabda kepadanya “ Allah kagum terhadap apa yang kamu lakukan kepada tetamu kamu malam tadi”. Hadis ini menunjukkan isteri Ansari tersebut berada bersama suaminya melayan tetamu mereka makan.

g) Boleh bergaul dalam kenderaan awam kerana hajah/keperluan menggunakannya. Wanita dibenarkan keluar untuk menunaikan keperluan yang syar`ie seperti menziarahi keluarga, mendapat rawatan di hospital dan lainnya. Ini membuatkannya terpaksa menggunakan kenderaan awam. Mungkin berlaku pergaulan dalam kenderaan awam atau semasa menunggu untuk mendapat rawatan doktor atau semasa mengambil ubat di farmasi. Pergaulan wanita dan lelaki ajnabi dalam bentuk ini diharuskan atas dasar hajah dan keperluan syar`ie dan dengan syarat mematuhi hukum-hukum dan adab-adab Islam lain.

h) Boleh bergaul kerana tujuan berjihad fi sabilillah. Ini telah berlaku apabila sahabiyat turut serta dalam medan perang memberikan rawatan kepada mereka yang luka, menyediakan makanan dan menghantar pulang mereka yang syahid ke Madinah. Kegiatan ini menuntut wanita dan lelaki ajnabi bercampur , tetapi ia dibolehkan kerana menyempurnakan tuntutan syarak. Rabi`e Binti Mu`awiz berkata: “kami bersama Rasulullah (s) memberi minum dan merawat mereka yang luka dan menghantar pulang mereka yang terkorban ke Madinah”.

i) Boleh bergaul silang jantina ajnabi untuk tujuan mendapat nasihat, teguran dan bimbingan. (mendengar ceramah agama dalam konteks hari ini) Bukhari meriwayatkan daripada Ibnu Abbas: Pada (satu) hari raya Baginda keluar dan solat dua rakaat. Baginda tidak solat sebelum dan sesudahnya. Kemudian baginda menghala kepada kumpulan kaum wanita dan mengarahkan mereka supaya bersedekah. Mereka pun menyerahkan gelang dan rantai. Hadis ini jelas menunjukkan kaum wanita turut berada dalam majlis tersebut.

JAHILIYAH DAN KESANNYA KEPADA MASYARAKAT

As-Sahid Sayed Qutub pernah berkata “Maka orang yang mengenali Jahiliyah, dialah orang yang dapat memahami nilai Islam dan dialah yang sangat menghargai rahmat Allah yang terdapat dalam Islam dan nikmat Allah yang terlaksana dengan Islam.
Dari kata-kata tersebut jelaslah betapa pentingnya seseorang itu memahami erti jahiliyah dan gambaran yang sebenarnya.
Pengertian Jahiliyah
Jahiliyah asal maknanya bodoh atau jahil masyarakat Jahiliyah bukanlah bermakna ahli masyarakat itu bodoh, kurang pengetahuan, tidak mempunyai harta kebendaan, tidak mempunyai nilai pemikiran kemasyarakatan atau sebagainya.
Jahiliyah yang diterangkan dalam Al-Quran ialah sikap mental yang menolak pedoman dan petunjuk dari Allah dan mencipta undang-undang yang berlawanan dari yang diturunkan oleh Allah.
Jahiliyah juga bukanlah berlawanan dengan apa yang dinamakan ilmu tamadun dan kemajuan kebendaan tetapi jahiliyah sebenar berlawanan dengan marifatullah, tidak berpandukan dengan hidayat Allah dan tidak berhakimkan dengan hukuman Allah.
Al-Quran tidak menyatakan oran Arab itu Jahiliyah kerana mereka tidak mengetahui ilmu falak, kimia, kedoktoran, sistem politik, ilmu bahasa, kurang kemajuan kebendaan, kosong dengan sifat yang baik, sesungguhnya mereka Jahiliyah kerana mereka berhakimkan hawa nafsu dan menolak hukum-hukum Allah.
Masa Jahiliyah
Sesungguhnya fenomena Jahiliyah itu bukanlah muncul hanya pada tahap masa tertentu sahaja dalam sejarah bahkan ia boleh berulang pada sepanjang masa apabila wujud sebab musababnya. Sejarah manusia seluruhnya tidak terkeluar dari dua keadaan yang saling bertentangan yang tidak berkesudahan dan masing-masing menghasilkan natijah yang berlainan.
Perbezaan Hidayah dan Jahiliyah
Hidayah berpunca dari makrifullah dan mengikut petunjuknya sementara Jahiliyah itu terbit dari kejahilan terhadap Allah dan keengganan menurut titah perintahnya. Kedua-dua dasar tadi melahirkan sistem masing-masing dalam ekonomi sosial, politik, kebudayaan, ilmu pengetahuan dan sebagainya. Ini bersesuaian dengan kemampuan akal mereka dalam menganggapi alam material disekitarnya serta dipengaruhi oleh pengalaman hidup mereka. Dari kedua-dua dasar itu lahir pula dua masyarakat yang amat berbeza dari semua segi sama ada berkaitan dengan pegangan hidup yang berupa keyakinan mahupun sistem hidup yang menjadi amalan hidup mereka di dunia ini. Dari sini jelaslah kepada kita bahawa masyarakat manusia terbahagi kepada dua iaitu masyarakat Islam atau masyarakat Jahiliyah.
Ciri-ciri Masyarakat Jahiliyah
Masyarakat Jahiliyah tidak terbatas kepada masyarakat sebelum Islam sahaja. Ia boleh wujud jika terdapat di dalam masyarakat itu ciri-ciri Jahiliyah seperti berikut :
(i) Tidak beriman kepada Allah dengan keimanan yang sebenar
Ciri ini merupakan ciri terpenting yang terdapat pada masyarakat Jahiliyah di sepanjang sejarah. Bahkan ianya adalah asas yang memperkembangkan Jahiliyah. Di atasnya terbina seluruh penyelewengan konsep, tingkah laku dan kepincangan sistem hidup manusia. Baik yang berhubung dengan perasaan, fikiran pemikiran dan hubungan sesama manusia dan manusia dengan alam seluruhnya.
(ii) Tidak menjalankan hukum Allah
Menolak atau tidak melaksanakan hukum atau peraturan Allah kerana mengikut hawa nafsu adalah dianggap Jahiliyah. Sebenarnya penolakan hukum Allah itu berpunca dari ciri yang pertama tadi.
(iii) Wujud taghut dalam masyarakat
Dalam seluruh masyarakat Jahiliyah pasti wujud taghut yang berusaha menyelewengkan manusia dari beribadat kepada Allah dan berhukum dengan syariatnya. Mereka berusaha sedaya upaya supaya manusia mentaati taghut dan hukum-hukum yang dicipta oleh manusia berdasarkan hawa nafsu.
(iv) Menurut hawa nafsu tanpa bimbingan hidayat Allah
Apabila jauh dari minhaj Allah, maka manusia akan tenggelam dalam alam hawa nafsu. Walaupun nafsu itu adalah penting untuk manusia tetap jika dia dilepaskan tanpa kawalan serta bimbingan hidayah Allah ia akan membahayakan manusia itu sendiri dan menyebabkan manusia jatuh ke taraf kebitangan seterusnya ke tahap syaitan.

Kesan Jahiliyah
Jahiliyah telah merosakkan tasawwur manusia tentang hubungannya dengan Allah, dengan alam dan kehidupannya. Dengan kata lain Jahiliyah menyelewengkan seluruh aspek kehidupan manusia.
Dari segi akidah menyebab berpuncanya penyelewengan falsafah pemikiran manusia. Timbulnya kefahaman materialisme yang menganggap kehidupan material di dunia menjadi matlamat hidup manusia. Dari itu timbullah aliran sukaralisma yang bertanggungjawab melahirkan kapitalisma, kominisme dan sosialisme.
Kesan yang paling buruk ialah memberikan hak hakimiah, hak membuat hukum, hak mencipta minhaj (sistem hidup) dan hak melepaskan nilai-nilai kehidupan yang menjadi hak mutlak Allah itu kepada manusia.
Dari segi politik manusia telah diracuni fahaman nasionalisme yang ditafsirkan oleh Rasulullah sebagai membantu saudara atau kaum melakukan kezaliman. Fahaman ini menimbulkan kebencian dan ketakutan bahkan mencetuskan peperangan, penaklukan, penjajahan dan kehancuran.
Dalam sistem ekonomi dasarnya berteraskan kepada prinsip mencari keuntungan semata-mata sehingga melahirkan penindasan dan exploitasi. Hakikat kemanusiaan telah dilupakan, seolah-olah manusia itu hidup hanya untuk kemajuan ekonomi bukan ekonomi untuk kemajuan manusia. Nilai kasih sayang, belas kasihan, kemurahan hati dan sebagainya telah ditenggelamkan oleh sifat tamak dan rakus.
Sistem sosialnya pula telah menyebabkan hubungan individu dengan masyarakat menjadi tidak simbang akibat penyelewengan dari sistem Allah. Keadaan ini dapat diperhatikan dengan jelas dalam sistem kapitalis yang menelurkan pemujaan kebendaan, kewangan dan kemewahan yang berbentuk material.
Dalam sistem pendidikannya pula melahirkan faham dua lisma yang memberi penekanan kepada aspek akliah dan maddiyah, mengabaikan aspek rohaniah. Akibatnya ianya hanya mampu melahirkan warganegara yang baik bukan seorang insan yang soleh.
Manakala dalam masyarakat komunisme, pengaruh Jahiliyah memberi kesan kepada manusia yang menjadkan masyarakat sebagai Tuhan. Sistem ini telah merampas hak individu dalam memiliki harta, sistem kebendaan telah menguasai manusia, bukan manusia menguasai kebendaan. Fahaman ini telah melahirkan fahaman atisme. Sistem pemerintahannya ia melahirkan sistem diktator kerana mengamalkan politik totali tanpa permesyuaratan rakyat. Komunisme membawa slogan “Berkhidmat Untuk Negara”, slogan ini telah menghapuskan hak individu untuk bersuara, memilih kerja, mendidik anak menurut agama, sifat bersaing untuk berkuasa dan sebagainya.
Pada hakikatnya keruntuhan masyarakat Jahiliyah adalah kerana keruntuhan akhlak yang mulia dan bersifat dengan sifat-sifat Jahiliyah seperti riyak, takabbur, sum’ah, hasad, cinta dunia, tamak, kufur, degil, membazir, bangga dengan dosa, khianat, pengecut, pemarah, takut kepada manusia dan sebagainya. Apabila Islam telah datang ia telah meruntuhkan sifat muzmumah ini dan menggantikannya sifat-sifat terpuji seperti tawaduk, berani kerana benar, sabar beriman, taat kepada Allah, amanah, bijaksana, takut kepada Allah berbaik sangkaan sesama muslim dan sebagainya.
Kesimpulan
Demikianlah kesan Jahiliyah yang telah mengancam dan memusnahkan akidah tauhid umat manusia sejak dahulu kala hinggalah ke zaman Jahiliyah ke 20 ini. Pemesongan akidah ini telah meruntuhkan nilai-nilai kemanusiaan

BERCOUPLE BUKAN BUDAYA UMAT ISLAM YANG BERIMAN

BERCOUPLE, setiap kali kita mendengarnya akan terlintas di benak kita sepasang insan yang sedang mabuk cinta dan dilanda asmara. Saling mengungkapkan rasa sayang serta rindu, yang kemudiannya kebiasaannya walaupun tidak semestinya memasuki sebuah biduk pernikahan.

Lalu kenapa harus dipermasalahkan? Bukankah cinta itu fitrah setiap anak Adam? Bukankah setiap orang memerlukan masa penyesuaian sebelum pernikahan?

CINTA, Fitrah Setiap Manusia,
MANUSIA diciptakan oleh ALLAH SWT dengan membawa fitrah (instinct) untuk mencintai lawan jenisnya. Sebagaimana firmanNya: Dijadikan indah pada (pandangan) manusia kecintaan kepada apa-apa yang diingini, iaitu wanita-wanita, anak-anak, harta yang banyak dari jenis emas, perak, kuda pilihan, binatang-binatang ternak dan sawah ladang. Itulah kesenangan hidup di dunia, dan di sisi ALLAH lah tempat kembali yang baik (syurga) (Ali Imran: 14).

Berkata Imam Qurthubi: ALLAH SWT memulai dengan wanita kerana kebanyakan manusia menginginkannya, juga kerana mereka merupakan jerat-jerat syaitan yang menjadi fitnah bagi kaum lelaki, sebagaimana sabda Rasulullah SAW: Tiadalah aku tinggalkan setelahku selain fitnah yang lebih berbahaya bagi lelaki daripada
wanita. (Hadis Riwayat Bukhari, Muslim, Tirmidzi, Ibnu Majah).

Oleh kerana cinta merupakan fitrah manusia, maka ALLAH SWT menjadikan wanita sebagai perhiasan dunia dan nikmat yang dijanjikan bagi orang-orang beriman di syurga dengan bidadarinya.

Dari Abdullah bin Amr bin Ash r.a. berkata: Rasulullah SAW bersabda: Dunia ini adalah
perhiasan dan sebaik-baik perhiasan adalah wanita yang solehah (Hadis Riwayat Muslim, NasaI, Ibnu Majah, Ahmad, Baihaqi)

ALLAH berfirman: Di dalam syurga-syurga itu ada bidadari-bidadari yang baik-baik lagi cantik-cantik (ar-Rahman: 70)

Namun, Islam tidak membiarkan fitnah itu mengembara tanpa batasannya. Islam telah
mengatur dengan tegas bagaimana menyalurkan cinta, juga bagaimana batasan pergaulan antara dua insan berlawanan jenis sebelum nikah, agar semuanya tetap berada pada landasan etika dan norma yang sesuai dengan syariat.

ETIKA PERGAULAN DAN BATAS PERGAULAN DI ANTARA LELAKI DAN WANITA MENURUT ISLAM.

1. Menundukkan pandangan.
ALLAH memerintahkan kaum lelaki untuk menundukkan pandangannya, sebagaimana firmanNya:
Katakanlah kepada laki-laki yang beriman: Hendaklah mereka menahan pandangannya dan memelihara kemaluannya (an-Nuur: 30).
Sebagaimana hal ini juga diperintahkan kepada kaum wanita beriman, ALLAH erfirman: Dan katakanlah kepada wanita yang beriman: Hendaklah mereka menahan pandangannya dan memelihara kemaluannya (an-Nuur: 31).

2. Menutup aurat.
ALLAH berfirman: Dan jangan lah mereka menampakkan perhiasannya, kecuali yang biasa nampak daripadanya. Dan hendaklah mereka melabuhkan kain tudung ke dadanya (an-Nuur: 31). Juga Firman-NYA; Hai nabi, katakanlah kepada isteri-isterimu, anak-anak perempuanmu dan isteri-isteri orang mukmin: Hendaklah mereka melabuhkan jilbabnya ke seluruh tubuh mereka. Yang demikian itu supaya mereka lebih mudah dikenali, kerana itu mereka tidak diganggu. Dan ALLAH adalah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang (an-Nuur: 59).

Perintah menutup aurat juga berlaku bagi semua jenis. Dari Abu Daud Said al-Khudri r.a. berkata: Rasulullah SAW bersabda: Janganlah seseorang lelaki memandang aurat lelaki, begitu juga dengan wanita jangan melihat aurat wanita.

3. Adanya pembatas antara lelaki dengan wanita.
Kalau ada sebuah keperluan terhadap kaum yang berbeza jenis, harus disampaikan dari balik tabir pembatas. Sebagaimana firmanNya: Dan apabila kalian meminta sesuatu kepada mereka (para wanita) maka mintalah dari balik hijab. (al-Ahzaab: 53)

4. Tidak berdua-duaan di antara lelaki dan perempuan.
Dari Ibnu Abbas r.a. berkata: Saya mendengar Rasulullah SAW bersabda: Janganlah seorang lelaki berdua-duaan (khalwat) dengan wanita kecuali bersama mahramnya (Hadis Riwayat Bukhari & Muslim). Dari Jabir bin Samurah berkata: Rasulullah SAW
bersabda: Janganlah salah seorang dari kalian berdua-duan dengan seorang wanita, kerana syaitan akan menjadi ketiganya (Hadis Riwayat Ahmad & Tirmidzi dengan sanad yang sahih).

5.Tidak melunakkan ucapan (percakapan).
Seorang wanita dilarang melunakkan ucapannya ketika berbicara selain kepada suaminya. Firman ALLAH SWT: Hai isteri-isteri Nabi, kamu sekalian tidaklah seperti wanita yang lain, jika kamu bertakwa. Maka janganlah kamu tunduk dalam berbicara (berkata-kata yang menggoda) sehingga berkeinginan orang yang ada penyakit di dalam
hatinya tetapi ucapkanlah perkataan-perkataan yang baik. (al-Ahzaab: 32)

Berkata Imam Ibnu Kathir: Ini adalah beberapa etika yang diperintahkan oleh ALLAH kepada para isteri Rasulullah SAW serta kepada para wanita mukminah lainnya, iaitu hendaklah dia kalau berbicara dengan orang lain tanpa suara merdu, dalam pengertian janganlah seorang wanita berbicara dengan orang lain sebagaimana dia
berbicara dengan suaminya (Tafsir Ibnu Kathir 3/350).

6.Tidak menyentuh kaum berlawanan jenis.
Dari Maqil bin Yasar r.a. berkata: Seandainya kepala seseorang ditusuk dengan jarum besi itu masih lebih baik daripada menyentuh kaum wanita yang tidak halal baginya (Hadis Hasan Riwayat Thabrani dalam Mujam Kabir).

Berkata Syaikh al-Albani Rahimahullah: Dalam hadis ini terdapat ancaman keras terhadap orang-orang yang menyentuh wanita yang tidak halal baginya (Ash-Shohihah 1/448). Rasulullah SAW tidak pernah menyentuh wanita meskipun dalam saat-saat penting seperti membaiat dan lain-lainnya. Dari Aishah berkata: Demi ALLAH,
tangan Rasulullah SAW tidak pernah menyentuh tangan wanita sama sekali meskipun saat membaiat (Hadis Riwayat Bukhari).

Inilah sebahagian etika pergaulan lelaki dan wanita selain mahram, yang mana apabila seseorang melanggar semuanya atau sebahagiannya saja akan menjadi dosa zina baginya, sebagaimana sabda Rasulullah SAW: Dari Abu Hurairah r.a. dari Rasulullah SAW bersabda: Sesungguhnya ALLAH menetapkan untuk anak Adam bahagiannya dari zina, yang pasti akan mengenainya. Zina mata dengan memandang, zina lisan dengan erbicara,
sedangkan jiwa berkeinginan serta berangan-angan, lalu farji/kemaluan yang akan membenarkan atau mendustakan semuanya (Hadis Riwayat Bukhari, Muslim & Abu Daud).

Padahal ALLAH SWT telah melarang perbuatan zina dan segala sesuatu yang boleh mendekati kepada perbuatan zina. Sebagaimana FirmanNya: Dan janganlah kamu mendekati zina, sesungguhnya zina itu adalah suatu perbuatan yang keji dan jalan yang buruk (al-Isra: 32).

Hukum Bercouple
SETELAH memerhatikan ayat Quran dan hadis tadi, maka tidak diragukan lagi bahawa bercouple itu haram, kerana beberapa sebab berikut:

1. Orang yang bercouple tidak mungkin menundukkan pandangannya terhadap kekasihnya.

2. Orang yang bercouple tidak akan boleh menjaga hijab.

3. Orang yang bercouple biasanya sering berdua-duaan dengan pasangan
kekasihnya, baik di dalam rumah atau di luar rumah.

4. Wanita akan bersikap manja dan mendayukan suaranya saat bersama kekasihnya.

5. Bercouple identik dengan saling menyentuh antara lelaki dan wanita, meskipun itu
hanya berjabat tangan.

6. Orang yang bercouple, boleh dipastikan selalu membayangkan orang yang
dicintainya.

Dalam kamus bercouple, hal-hal tersebut adalah lumrah dilakukan, padahal satu hal saja cukup untuk mengharamkannya, lalu apatah lagi kesemuanya atau yang lain-lainnya lagi?

Fatwa Ulama
Syaikh Muhammad bin Shaleh al-Utsaimin ditanya tentang hubungan cinta sebelum nikah. Jawab beliau; Jika hubungan itu sebelum nikah, baik sudah lamaran atau belum, maka hukumnya adalah haram, kerana tidak boleh seseorang untuk bersenang-senang dengan wanita asing (bukan mahramnya) baik melalui ucapan, memandang, atau berdua-duaan. Sebagaimana Rasulullah SAW bersanda: Janganlah seorang lelaki bedua-duaan dengan seorang wanita kecuali ada bersama-sama mahramnya, dan janganlah seseorang wanita berpergian kecuali bersama mahramnya.

Syaikh Abdullah bin abdur Rahman al-Jibrin ditanya: Jika ada seseorang lelaki yang
berkoresponden dengan seorang wanita yang bukan mahramnya, yang pada akhirnya mereka saling mencintai, apakah perbuatan itu haram? Jawab beliau: Perbuatan itu tidak diperbolehkan, kerana boleh menimbulkan syahwat di antara keduanya, serta mendorongnya untuk bertemu dan berhubungan, yang mana koresponden semacam
itu banyak menimbulkan fitnah dan menanamkan dalam hati seseorang untuk mencintai penzinaan yang akan menjerumuskan seseorang pada perbuatan yang keji, maka dinasihati kepada setiap orang yang menginginkan kebaikan bagi dirinya
untuk menghindari surat-menyurat, pembicaraan melalui telefon serta perbuatan semacamnya demi menjaga agama dan kehormatan diri kita.
Syaikh Jibrin juga ditanya: Apa hukumnya kalau ada seorang pemuda yang belum menikah menelefon gadis yang juga belum menikah? Jawab beliau: Tidak boleh berbicara dengan wanita asing (bukan mahram) dengan pembicaraan yang boleh menimbulkan syahwat, seperti rayuan, atau mendayukan suara (baik melalui telefon atau lainnya). Sebagaimana firman ALLAH SWT; Dan janganlah kalian melembutkan suara, sehingga berkeinginan orang-orang yang berpenyakit di dalam hatinya (al-Ahzaab: 32). Adapun kalau pembicaraan itu untuk sebuah keperluan, maka hal itu tidak mengapa apabila selamat daripada fitnah, akan tetapi hanya sekadar keperluan.

Syubhat Dan Jawapan Yang Sebenarnya
Keharaman bercouple lebih jelas dari matahari di siang hari. Namun begitu masih ada yang berusaha menolaknya walaupun dengan dalil yang sangat rapuh, antaranya:

Tidak boleh dikatakan semua cara bercouple itu haram, kerana mungkin ada orang yang bercouple mengikut landasan Islam, tanpa melanggar syariat

Jawabnya: Istilah bercouple berlandaskan Islam itu Cuma ada dalam khayalan, dan tidak pernah ada wujudnya. Anggap sajalah mereka boleh menghindari khalwat, menyentuh serta menutup aurat. Tetapi tetap tidak akan boleh menghindari dari saling memandang, atau saling membayangkan kekasihnya dari masa ke semasa. Yang mana hal itu jelas haram berdasarkan dalil yang kukuh.

Biasanya sebelum memasuki alam perkahwinan, perlu untuk mengenal terlebih dahulu calon pasangan hidupnya, fizikal, karaktor/sifat, yang mana hal itu tidak akan boleh dilakukan tanpa bercouple, kerana bagaimanapun juga kegagalan sebelum
menikah akan jauh lebih ringan daripada kalau terjadi setelah menikah.

Jawabnya: Memang, mengenal fizikal dan karaktor calon isteri mahupun suami merupakan satu hal yang diperlukan sebelum memasuki alam pernikahan, agar tidak ada penyesalan di kemudian hari. Namun, tujuan ini tidak boleh digunakan untuk
menghalalkan sesuatu yang telah sedia haramnya.

Ditambah lagi, bahawa orang yang sedang jatuh cinta akan berusaha bertanyakan segala yang baik dengan menutupi kekurangannya di hadapan kekasihnya. Juga orang yang sedang jatuh cinta akan menjadi buta dan tuli terhadap perbuatan kekasihnya, sehingga akan melihat semua yang dilakukannya adalah kebaikan tanpa cacat.
Sebagaimana diriwayatkan dari Abu Darda: Cintamu pada sesuatu membuatmu buta
dan tuli.

Fenomena Couple
Dalam situasi terkini, fenomena pergaulan bebas dan pengabaian terhadap nilai-nilai murni Islam berlaku pada tahap yang amat membimbangkan. Kebanyakan umat Islam kini tidak lagi menitik beratkan nilai-nilai dan adab-adab sopan yang dianjurkan oleh Islam melalui al-Quran dan Sunnah RasulNya. Mereka bukan setakat mengabaikannya dan menganggap perkara itu tidak penting, bahkan mereka menganggapkannya
sebagai satu perkara yang menyusahkan aktiviti mereka yang menurutkan nafsu dan perasaan semata-mata itu. Nauzubillah

Marilah kita sama-sama menjauhi perkara yang seumpama itu dan mejauhi hal-hal yang telah dilarang (haram). Tegakkanlah yang benar dan katakanlah salah kepada yang batil. Janganlah berhujah untuk membenarkan perkara yang telah terang haramnya di sisi ALLAH.

Mengapa Bercouple Haram?

Ya,mengapa? Sekarang kita kembali kepada persoalan pokok. Di sinilah timbulnya kontroversi di antara kita. Bagi yang bercouple, sudah tentu perasaan ingin tahu mereka sangat tinggi dan pelbagai hujah ingin dikeluarkan bagi mempertahankan kesucian cinta mereka itu.


Sebagai seorang muslim, untuk menjawab persoalan ini, kita perlulah merujuk kembali kepada manual kita yang telah digarisi oleh Allah S.W.T. iaitu Al-Quran dan panduan iaitu As-Sunnah yang telah diwasiatkan kepada kita oleh junjungan besar kita Nabi Muhammad S.A.W. yang sepatutnya menjadi pegangan hidup kita.

Ada yang berkata, Allah telah menjadikan makhluk-Nya berpasang-pasangan, lelaki dan perempuan, mengapa tidak boleh bercinta atau bercouple? Memang tidak dinafikan,dalam Al-Quran Allah ada berfirman, seperti dalam Surah Yasin(36) ayat 36:

Maha Suci Tuhan yang telah menciptakan pasangan-pasangan semuanya, baik dari apa yang ditumbuhkan oleh bumi dan dari diri mereka maupun dari apa yang tidak mereka ketahui.

Dan juga firman-Nya dalam Surah Al-Hujrat(49) ayat 13:

Hai manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kamu dari seorang laki-laki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal mengenal. Sesungguhnya orang yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertakwa di antara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal.

Meskipun begitu, ayat-ayat ini tidak menjelaskan yang kita boleh mengadakan hubungan percintaan dan berkasih kasihan antara lelaki dan perempuan yang bukan mahram. Banyak larangan Allah dalam Al-Quran yang melarang hubungan-hubungan ini. Percintaan bermula dari mata. Firman Allah,

Katakanlah kepada orang laki-laki yang beriman: "Hendaklah mereka menahan pandangannya, dan memelihara kemaluannya; yang demikian itu adalah lebih suci bagi mereka, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang mereka perbuat."
Surah An-Nur(24) ayat 30

Dalam ayat ini, jelas Allah telah memerintahkan kita supaya kita menjaga pandangan kita daripada memandang perkara-perkara yang dilarang, termasuklah memandang wanita bukan mahram serta wajib bagi kita menjaga nafsu. Perintah ini bukan ditujukan kepada kaum Adam sahaja. Dalam ayat yang seterusnya Allah berfirman,

Katakanlah kepada wanita yang beriman: "Hendaklah mereka menahan pandangannya, dan memelihara kemaluannya,...
Surah An-Nur(24) ayat 31.

Dua ayat dari Surah An-Nur ini sebenarnya terdapat dalam sukatan matapelajaran Pendidikan Al-Quran & Sunnah tingkatan 5. Para pelajar tingkatan 5 sepatutnya lebih jelas akan perkara ini. Daripada ayat ini jelas Allah melarang lelaki dan perempuan bukan mahram daripada saling berpandang-pandangan dengan niat untuk suka-suka, apatah lagi untuk memuaskan hawa nafsu.

Dalil yang lebih kuat menetang hubungan percintaan ini terdapat dalam Surah Al-Israa(17) ayat 32:

Dan janganlah kamu mendekati zina; sesungguhnya zina itu adalah suatu perbuatan yang keji dan suatu jalan yang buruk.

Ayat ini memang cukup popular di kalangan kita. Ramai yang apabila ditegur dengan ayat ini akan menjawab,Kami tidak berzina. Kami berbual-bual je , Kami keluar makan je dan Kami main SMS je. Dan pelbagai 1001 alasan lagi. Para pembaca,sila teliti firman Allah tadi. Dalam ayat ini, Allah melarang kita mendekati zina. Allah menggunakan kalimah walaa taqrobuu (jangan hampiri) dan bukannya kalimah walaa ta`maluu (jangan melakukan). Ini menunjukkan, walaupun kita hanya mendekati zina, ia sudah pun HARAM! Mungkin ada yang tidak jelas dengan maksud menghampiri di sini. Biar kita ambil contoh, jarak kita dengan dewan adalah 50 meter. Apabila kita melangkah setapak ke arah dewan, jarak antara kita dan dewan adalah 49.8 meter. Inilah dikatakan menghampiri dewan. Jadi, bercinta sebelum kahwin dan bercouple adalah menghampiri zina, dan menghampiri zina adalah HARAM.

Ini adalah dalil-dalil daripada Al-Quran. Bagaimana pula dengan hadis rasul kita, Nabi muhammad S.A.W.? Dalam hadis, baginda rasulullah telah memperincikan jenis-jenis zina. Daripada Abu Hurairah r.a katanya, Nabi S.A.W. bersabda :

Sesungguhnya Allah Taala telah menetapkan nasib anak Adam mengenai zina. Tidak mustahil dia pernah melakukannya. Zina mata ialah memandang. Zina lidah ialah berkata. Zina hati ialah keinginan dan syahwat,sedangkan faraj (kemaluan) hanya menuruti atau tidak menuruti.*

Hadis kedua; Daripada Abu Hurairah r.a., dari Nabi S.A.W. sabdanya

Nasib anak Adam mengenai zina telah ditetapkan. Tidak mustahil dia pernah melakukannya. Dua mata, zinanya memandang. Dua telinga, zinanya mendengar. Lidah, zinanya berkata. Tangan, zinanya memukul(berpegangan,brgurau menggunakan tangan). Kaki, zinanya melangkah. Hati, zinanya ingin dan rindu, sedangkan faraj (kemaluan) hanya mengikuti atau tidak mengikuti.**

(Dua hadis di atas adalah sahih dan diriwayatkan oleh 4 orang imam, iaitu Al-Bukhari, Muslim, Ahmad dan Ghayatul-Maram. *Sahih Muslim, hadis ke 2281. **Sahih Muslim, hadis ke 2282)

Daripada dua hadis ini, jelas rasulullah menenyenaraikan bahangian-bahagian zina. Apabila kita memandang Si Dia dengan sengaja,menatapi wajahnya, dan sebagainya, zina mata berlaku. Apabila lidah kita digunakan untuk mengeluarkan kata-kata manis serta puitis, untuk memenangi hati Si Dia, membuatkan Si Dia tertarik kepada kita, lidah berzina. Apabila kita mendengar serta menghayati kelunakkan suaranya, telinga berzina. Apabila berpegangan tangan, berjalan bersama ke arah menghampiri zina, tangan dan kaki berzina. Tetapi, yang paling bahaya ialah, apabila kita merindui Si Dia, memikirkan-mikirkan tentangnya, keacantinkannya, ketampanannya, sifat penyanyangnya, betapa kecintaannya kepada kita, zina tetap berlaku. Biarpun tidak bersua dari segi pancaindera, hati boleh berzina. Tidak mungkin sesuatu hubungan percintaan itu tidak melibatkan penglihatan, percakapan, pendengaran dan perasaan. Sudah terang lagikan bersuluh, percintaan sebelum berkahwin dan bercouple adalah menghampiri zina dan hukumnya adalah HARAM.

Apa Yang Patut Dilakukan?

Bagi yang belum terjebak, adalah dinasihatkan jangan sekali-kali menjerumuskan diri ke lembah percintaan. Susah untuk meninggalkan suatu perbuatan maksiat seperti ini setelah merasai kenikmatannya. Silap-silap boleh terlanjur dan langsung tidak dapat meninggalkannya lagi. Bagi yang sudah terjebak, sedang, ataupun yang mula berjinak-jinak dengan percintaan, sedarlah. Segeralah kita meninggalkan perbuatan maksiat yang tidak diredhai lagi dimurkai Allah ini. Tiada gunanya kita terus melakukan dosa demi meneruskan hubungan terlarang ini demi mendapatkan kebahagiaan duniawi yang sementara ini. Hanya satu jalan sahaja yang menghalalkannya iaitu melalui ikatan pernikahan.

Bagi pasangan-pasangan yang benar-benar serius, diingatkan, semakin manis hubungan sebelum berkahwin, semakin tawar hubungan selepas menjadi suami isteri nanti. Lihatlah ibu-bapa serta atuk nenek kita, keutuhan rumah tangga mereka boleh dilihat sehingga kini tanpa melalui zaman percintaan yang diimpikan remaja-remaja kini.
Setiap dari kita tentu mengidamkan pasangan hidup yang baik. Kita tidak mahu pasangan kita seorang yang tidak beriman. Seburuk-buruk perangai manusia, dia tetap menginginkan seseorang yang bain sebagai teman hidupnya. Firman Allah,

Wanita-wanita yang keji adalah untuk laki-laki yang keji, dan laki-laki yang keji adalah buat wanita-wanita yang keji (pula), dan wanita-wanita yang baik adalah untuk laki-laki yang baik dan laki-laki yang baik adalah untuk wanita-wanita yang baik (pula).
Surah An-Nuur(24) ayat 26.

Janji Allah, dia akan mengurniakan kepada lelaki yang baik-baik dengan perempuan yang baik-baik. Begitulah sebaliknya. Allah akan berikan yang baik, denagn syarat, kita juga berusaha menjadi baik serta memilih jalan yang baik serta diredhai-Nya. Bagaimana hendak mendapatkan sebuah keluarga yang bahagia serta diredhai Allah jika pokok pangkal permulaannya sudah pincang, tidak berlandaskan Islam serta tidak diredhai Allah? Mungkin pada mulanya kita menganggap perkara yang kita lakukan ini cukup baik, niatnya baik, caranya pun kita rasakan cukup baik.tetapi sebenarnya, ia adalah rencana syaitan yang membuatkan kita kabur memandang perbuatan yang kita lakukan itu. Firman Allah,

Dan setan menjadikan mereka memandang baik perbuatan-perbuatan mereka, lalu ia menghalangi mereka dari jalan (Allah), sedangkan mereka adalah orang-orang yang berpandangan tajam.
Surah Al-ankabut(29), ayat 38.

Sebenarnya, dalam Islam, lelaki dan perempuan tdak dibenarkan bergaul terlalu rapat, sehingga menjadi teman karib dan sebagainya. Lelaki tidak boleh mengahampiri perempuan dan perempuan tidak boleh menghampiri lelaki sesuka hati tanpa sebab. Tetapi Islam membenarkan apabila ada keperluan dan tujuan yang benar-benar perlu. Misalnya apabila ditugaskan mengadakan perbincangan dalam kumpulan besar yang melibatkan lelaki dan perempuan atau perlu berbincang mengenai sesuatu yang penting. Untuk berbual-bual kosong atau bergurau senda tanpa tujuan tertentu adalah tidak dibenarkan. Apatah lagi untuk saling meluahkan perasaan dan sebagainya. Cukuplah kaum sejenis sendiri untuk dijadikan teman karib dan tempat berbincang masalah.

Perasaan suka dan cinta adalah dua perkara yang berbeza. Tak salah bagi seseorang lelaki untuk menyukai seseorang perempuan dan seseorang perempuan menyukai seorang lelaki. Tapi, perasaan ini tidak boleh dilayan dan difikir-fikirkan kerana ianya merupakan hasutan syaitan yang membawa kepada zina hati. Sepatutnya apabila kita terfikir mengenai perkara-perkara ini, kita hendaklah menepisnya dan berhenti terus daripada memikirkannya. Firman Allah,

Dan jika kamu ditimpa sesuatu godaan setan, maka berlindunglah kepada Allah. Sesungguhnya Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui. Surah Al-Araf ayat 201.

Sekali lagi ditegaskan, bercinta sebelum berkahwin dan bercouple adalah menghampiri zina. Ia adalah perbuatan yang dilarang dalam Islam dan hukumnya adalah HARAM. Wallahualam..